Ahad, 26 April 2009

MENARA Condong Teluk Intan (2)

Menara Condong asalnya tidaklah condong sebagaimana sekarang. Menara ini asalnya dikenali sebagai Jam Tinggi kerana di bahagian atasnya terdapat sebuah jam. Orang yang bertanggung jawab membuat Menara Jam ini ialah Leong Choon Cheong atau Ah Cheong. Sebagai arkitek beliau mendapat ilham membina dengan reka bentuk demikian berdasarkan bangunan pagoda di Negara China.

Tujuan asal pembinaan Menara Jam pada tahun 1885 adalah untuk menempatkan sebuah tangki air. Air daripada tangki ini sebagai kegunaan penduduk setempatan apabila musim kemarau atau sebagai keperluan memadamkan kebakaran. Hal ini kerana pada waktu itu tidak ada perkhodmatan bomba.
Pada tahun 1895 berlaku banjir besar di Teluk Intan sehingga menara ini tenggelam. Banjir yang berlaku dengan bebanan air yang berat dipercayai punca menara ini mula condong ke arah Barat.

Pada zaman Jepun (1942-1945) bangunan Menara Jam ini dijadikan menara kawalan untuk meninjau kedatangan musuh. Bangunan kayu ini yang digunakan sebagai bangunan ketenteraan oleh pihak Jepun telah menyebabkan kerosakan terutama pada bahagian atas.

Menara Condong mempunyai ketinggian 85 kaki dari aras bumi. Secara umum bangunan ini mempunyai tiga tingkat, dengan setiap arasnya setinggi 15.5 kali. Menara Condong mempynyai 110 anak tangga yang diperbuat daripada kayu. Namun pandangan dari luar, bangunan ini seolah-oldh tujuh tingkat.

Struktur bangunan Menara Condong ini diperbuat daripada kayu dan batu. Setiap tingkat atau beranda dilengkapi lorong jalan dengan enam kaki lebar, berdindingkan tembok rendah dihiasi batu berwarna hijau. Atap bahagian atas dan tepinya menggunakan genting.

Lapisan bawah bangunan Menara Condong ini berukuran garis pusat 43 kaki dan menguncup ke atas dengan 27 kaki garis pusat. Tangki air terletak di aras tiga yang dibuat daripada keluli setinggi 16 kaki. Tangki ini boleh memuat sejumlah 680 kaki padu air.

Pada tahun 1997, Majlis Perbandaran Teluk Intan telah membina dataran di sekeliling bangunan Menara Condong sebagai usaha untuk menonjolkan keunikan bangunan ini. Kini dataran di sekitar Menara Condong menjadi kawasan riadah penduduk tempatan sehingga pada waktu malam.

Menurut Encik Khairul Anuar Tahir yang bekerja sebagai penyelia bangunan Menara Condong, bahawa bangunan ini sentiasa selamat dikunjungi. Orang ramai mengunjungi Menara Condong termasuk para pelancong asing.

Menara Condong bukan lagi milik persendirian, sebaliknya dimiliki oleh Jabatan Muzium Negeri Perak. Pihak Majlis Perbandaran Teluk Intan berperanan menyelia bangunan termasuk memberi maklumat semasa kepada pihak yang ingin mendapatkan maklumat.

Kini Menara Condong meneruskan peranannya memberi peringatan mengenai waktu kerana jam besarnya masih berfungsi. Jam akan berdenting kuat setiap 15 minit!

Hari ini Menara Condong Teluk Intan berjaya dikenali sebagai menara condong kedua di dunia selepas Menara Condong Pisa di Itali. Kecondongan kedua-dua menara ini bukanlah buatan sejak asal, tetapi atas faktor-faktor geografi.

Menara Condong Teluk Intan telah menjadi pusat pelancongan dan bangunan yang tersemat di jiwa penduduk Hilir Perak. Kepada sesiapa yang berkunjung ke Bandar Teluk Intan ini dianggap tidak sah jika tidak berkunjung ke Menara Condong Teluk Intan. Kepada penduduk tempatan khasnya Hilir Perak, Menara Condong Teluk Intan menjadi satu kenangan dan kebanggaan. Jika penduduk Teluk Intan berada jauh dari bandar Teluk Intan dan ingin menjelaskan mengenai bandar mereka sebagai ‘home town’ maka petandanya ialah Menara Condong Teluk Intan.

Setelah membuat kajian terhadap bangunan Menara Condong yang terletak di Teluk Intan ini, seharusnya rakyat Negara ini terus menghargai kewujudan Menara Condong sebagai warisan silam negara. Kewujudan bangunan bersejarah ini lebih 100 tahun telah terbukti memberi kesan mendalam kepada penduduk khasnya di Teluk Intan dan negeri Perak.

Sekalipun bangunan ini diperbuat daripada kayu dan batu namun kerana bahan-bahannya sangat bermutu tinggi, maka bangunan ini masih utuh dan mampu bertahan lama lagi. Selain itu ketelitian dalam pembinaannya, merupakan keunikan Menara Condong. Pelajar-pelajar seni bina patut menjadikan Menara Condong sebagai kajian mendalam mengenai seni bina dan struktur binaannya.

Pelajar-pelajar dalam bidang kejuruteraan pula dapat mempelajari semua aspek dari segi pemilihan tapak, struktur tanah dan struktur binaannya. Hal ini dapat membantu masyarakat hari ini mewarisi seni bina silam dan menggabungkannya dengan seni bina moden.

Dari sudut seni binanya sangat jelas bahawa seni tradisional Cina sangat penting dan diterima sebagai seni bina Malaysia. Dapatlah dikatakan Menara Condong sebagai salah satu keunikan budaya kebangsaan dalam aspek seni bina Malaysia.

Selasa, 21 April 2009

KAMPUNG Lubuk Pusing

LIMA kilometer dari SMK Bagan Terap, terdapat sebuah kampung bernama Lubuk Pusing. Jarak kampung itu dari pecan Sungai Besar ialah 17 kilometer. Penduduknya menjadi pekebun kelapa sawit. Asal-usul nama Kampung Lubuk Pusing merupakan lagenda bercampur mitos dan disebar sebagai sastera lisan setempat.

Menurut anak kelahiran Kampung Lubuk Pusing Encik Abdul Razak bin Zek, 52 tahun, nama Lubuk Pusing berkaitan dengan pusaran air Sungai Bernam yang yang menjadi sempadan negeri Perak dan Selangor. Kampung Lubuk Pusing terletak di tebing Sungai Bernam. Menurut En Abdul Razak yang lebih dikenali sebagai Pak Andak, sebelum tahun 1950-an kawasan yang hari ini menjadi Kampung Lubuk Pusing merupakan sebagian aluran Sungai Bernam. Dasar sungainya dalam dan menjadi laluan kapal membawa barangan pertanian seperti kelapa dan minyak Hulu Bernam ke kuala.

Di sungai itu terdapat pusaran air yang dikenali ‘lubuk pusing’. Pernah suatu ketika dahulu terdapat sampan pemancing yang melanggar pusaran air berkenaan dan ‘tertelan’ dalam pusaran air sungai itu. Mayatnya ditemui kira-kira 25 kilometer dari tempat kejadian iaitu di muara sungai.

Pada tahun 1960-an, perubahan pada aliran sungai berlaku dan dasar sungai yang terdapat pusaran air semakin cetek. Dengan mendapan-mendapan berlaku, akhirnya kawasan pusaran air atau lubuk pusing itu menjadi daratan tetapi mudah dinaiki air apabila hujan.

Kawasan yang asalnya tempat pusaran air di sungai itu terus kekal menjadi seperti kolam tetapi tiada lagi pusaran airnya. Kini terdapat tiga kolam di Kampung Lubuk Pusing yang asalnya merupakan pusaran air sungai zaman dahulu. Air di kolam-kolam ini seakan-akan menggelegak tanpa henti dan jauh ke dasarnya masih tidak dapat diketahui berapa puluh meter. Belum ada pihak yang membuat kajian ilmiah mengenainya.

Isnin, 20 April 2009

KOTA Malawati

BUKIT Malawati di Kuala Selangor menjadi bahan sejarah Negara. Hari ini bukit ini menjadi kunjungan pelancong dalam dan luar negara kerana ingin melihat kesan-kesan sejarah itu. Di puncak bukit ini terdapat sebuah rumah api yang menjadi panduan pelaut zaman dahulu. Di samping itu pihak muzium negeri telah memelihara dan memulihara khazanah perang seperti meriam dan meletakkannya di tempat-tempat strategik, umpama persiapan perang abad ke-18 dahulu.

Pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19, Bukit Malawati menjadi pusat pentadbiran Sultan Selangor. Di puncaknya dibina kota untuk melindungi pusat pentadbiran ini daripada serangan Belanda. Hal ini dimaklumi kerana Selangor waktu itu bersekutu dengan Johor untuk mengalahkan Belanda di Melaka. Beberapa kali Johor (Bugis) bersama angkatan Selangor mengepung Belanda di Melaka di bawah pimpinan Raja Haji.

Kegagalan mengalahkan Belanda menyebabkan Kuala Selangor terdedah kepada serangan Belanda. Semasa Sultan Ibrahim (1782-1826), Belanda berjaya menguasai Kuala Selangor dengan menawan kota pertahanan di Bukit Melawati. Belanda menamakan kota itu sebagai ‘Altingsburg’ bersempena nama Gabenor Jeneral Belanda waktu itu. Namun dengan bantuan Pahang, Sultan Ibrahim berjaya mengambil semula Kuala Selangor daripada Belanda pada tahun 1875.

Khamis, 16 April 2009

ERTI sejarah itu apa?

APA itu sejarah? Cerita semalam atau masa lalu. Dalam bahasa Inggeris, sejarah disebut history daripada perkataan frasa ayat his story. His story adalah cerita dia. Maka sejarah adalah cerita yang diterima, iaitu peristiwa yang ada nilai berita. Cerita adalah berita, dan apa yang dicatat dalam akhbar adalah cerita semalam atau beberapa waktu yang lalu. Sebagai contoh perlantikan Datuk Seri Najib tun Razak adalah satu cerita, dan cerita ini juga berita.

Kemudian kita perlu tahu apakah erti berita. Sebenarnya semua perkara yang dilalui oleh sesiapa adalah berita atau cerita. Oleh kerana semua adalah cerita atau berita, maka ada erti tersendiri untuk sesuatu cerita itu betul-betul boleh menjadi berita. Yang menjadi berita itulah dikenali sebagai cerita dia atau his story! Huh menarik betul, buat fening ana funya kefala…..

Ingat peristiwa Parameswa duduk berehat di bawah sepohon pokok? Semua orang pun biasa duduk di bawah pokok, tetapi mengapa semua orang yang duduk di bawah pokok tidak dicatat sebagai peristiwa atau cerita. Haa…, semasa Parameswara duduk di bawah pokok, ada peristiwa ganjil yang berlaku. Pelajar-pelajar semua tahu, anjing buruan Parameswara ditendang kancil! Yess! Inilah cerita atau berita. Anjing mengalahkan kancil, biasa. Itu tidak menjadi berita. Tetapi kalau kancil kalahkan anjing, itulah cerita atau berita!

Biasanya anjing buruan mestilah garangnya mak datuk…, namun anjing paling ganas itu dapat ditendang oleh pelanduk atau kancil. Kancil haiwan kecil dan manjanya mak datuk… Lagi, kancil bukanlah haiwan jenis melawan haiwan lain seperti harimau atau babi hutan! Oleh itu tindakan kancil yang membuat tendangan maut terhadap anjing paling ganas betul-betul menjadi cerita atau berita. Oleh kerana anjing itu kepunyaan Parameswara, maka anak raja itulah yang terkejut beruk! Semua itu sangat tinggi nilai cerita atau beritanya. Oleh kerana cerita itu berlaku pada masa lalu, maka itulah cerita dia, cerita sejarah atau catatan sejarah.

Boleh fahamlah… Oleh itu kalau hendak dicatat sebagai cerita atau berita atau catatan sejarah, cuba dapatkan 10A dalam SPM, dan selama ini anda mengulangkaji pelajaran di bawah pokok tauge.

Jumaat, 10 April 2009

MENARA Condong Teluk Intan (1)

Menara Condong di Teluk Intan merupakan salah satu bangunan bersejarah dan menjadi tarikan pelancong ke bandar itu di Hilir Perak. Banyak pelajar dari Tingkatan Tiga telah memilih bangunan ini untuk kajian Kerja Kursus Mata Pelajaran Sejarah bagi PMR 2009 ini.

Menara ini asalnya untuk menyimpan air. Kalau dilihat dari luar tampak tangki air itu. Agaknya kerana beban yang berat itu dan tempoh yang bertahun-tahun, maka bangunan ini condong. Namun berdasarkan pengakuan penyelia Menara Condong, Encik Khairul Anuar Tahir, bahawa menara ini selamat untuk dikunjungi.

Sabtu, 4 April 2009

MADRASAH Muhammadiyah al Diniyah

Foto di atas ialah Madrasah Muhammadiyah al Diniyah di Batu 40 Jalan Hj Muhammad Sabak Bernam Selangor. Madrasah ini dibina pada 1937 dan menjadi sekolah pendidikan Islam yang utama sebelum negara merdeka. Foto madrasah ini juga dipaparkan dalam buku Sejarah Tingkatan Tiga. Maklumat lanjut boleh didapati di http://kendedes.fotopages.com/?entry=1832867&back=http://kendedes.fotopages.com/?page=0