BUKIT Malawati di Kuala Selangor menjadi bahan sejarah Negara. Hari ini bukit ini menjadi kunjungan pelancong dalam dan luar negara kerana ingin melihat kesan-kesan sejarah itu. Di puncak bukit ini terdapat sebuah rumah api yang menjadi panduan pelaut zaman dahulu. Di samping itu pihak muzium negeri telah memelihara dan memulihara khazanah perang seperti meriam dan meletakkannya di tempat-tempat strategik, umpama persiapan perang abad ke-18 dahulu. Pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19, Bukit Malawati menjadi pusat pentadbiran Sultan Selangor. Di puncaknya dibina kota untuk melindungi pusat pentadbiran ini daripada serangan Belanda. Hal ini dimaklumi kerana Selangor waktu itu bersekutu dengan Johor untuk mengalahkan Belanda di Melaka. Beberapa kali Johor (Bugis) bersama angkatan Selangor mengepung Belanda di Melaka di bawah pimpinan Raja Haji.
Kegagalan mengalahkan Belanda menyebabkan Kuala Selangor terdedah kepada serangan Belanda. Semasa Sultan Ibrahim (1782-1826), Belanda berjaya menguasai Kuala Selangor dengan menawan kota pertahanan di Bukit Melawati. Belanda menamakan kota itu sebagai ‘Altingsburg’ bersempena nama Gabenor Jeneral Belanda waktu itu. Namun dengan bantuan Pahang, Sultan Ibrahim berjaya mengambil semula Kuala Selangor daripada Belanda pada tahun 1875.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan